Seorang muslim yang menjalani kehidupannya tanpa makrifat kepada Allah seolah-olah seperti nakhoda yang tiada arah tujuannya. Natijahnya dia pasti tidak akan dapat sampai ke destinasi tujuannya. Manakala seorang yang mempunyai makrifat yang benar kepada Allah seperti penumpang sebuah kapal yang besar yang mengharungi lautan luas yang pastinya penuh dengan gelora dan sampai ke destinasinya dengan selamat.
Semakin besar kapal tersebut semakin kurang gegaran pukulan ombak dirasakan begitulah sebaliknya. Begitulah halnya dengan kehidupan seorang insan di dunia ini, destinasi yang ditujui ialah keredhaan Allah, manakala kapalnya itu dikiaskan dengan makrifat kepada Allah, sementara nakhoda yang mengemudi bahtera itu ialah sang murabbi yang arif lagi wasil kepada Allah.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : tiada Ku jadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku (ad dzaariyat :56)
Gelora pukulan ombak itu dikiaskan dengan ujian kehidupan yang sentiasa dipukul gelombang ujian. Seorang yang mempunyai pengenalan yang mendalam kepada Allah maka kapal pelayarannya menjadi besar sehingga ombak ujian yang besar sekalipun dirasakan kecil.
Lumrah kehidupan ada pasang dan surut, suka dan duka silih berganti, selagi hidup kita tiada terlepas dari hambatan masalah. Yang menjadikan jiwa kita tenang dalam mengharungi badai kehidupan ini ialah apabila jiwa kita dapat melihat kasih sayang Allah yang bersifat ar rahman dalam semua kelakuan itu. Jiwa seperti ini dinamakan jiwa yang tenang atau al nafs al mutmai’nnah. Jiwa yang terhasil dari makrifat yang benar terhadap sang pencipta.
Jiwa yang cinta dan makrifat kepada sang pencipta akan tenang menghadapi segala cabaran hidup kerana pengenalan itu membuat jiwanya redha dan meredhai segala takdir yang telah dan akan berlaku ke atasnya.
Hal ini kerana keyakinannya bahawa seorang kekasih tiada akan sesekali mensia-siakan yang dikasihinya. Segala tindak- tanduk kekasihnya adalah berdasarkan cintanya kepadanya. Justeru jiwanya tenang walaupun diselubungi dengan sejuta ujian….
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
Wahai jiwa yang tenang! kembalilah kepada Tuhan mu dalam keadaan redha dan meredhai. Masuklah bersama hamba-hamba Ku dan hunilah syurga ku.