Alhamdulillah...aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan kasih sayang Nya dapat aku menghirup udara Nya dan yang lebih penting lagi dapat aku berada di atas perjalanan para kekasih Nya khasnya sayyid al wujud Saidina Rasulullah saw. Demi Allah ! diri ini tiada sedikitpun kelayakan untuk menelusuri perjalanan ini apatah lagi jika dilihat pada timbunan dosa dan noda yang dilakukan oleh diri ini.
Aku juga bersyukur dan berterima kasih kepada syeikhku yang begitu sabar dalam mendidik diriku yang penuh dengan nafsu kebinatangan dan kesyaitanan. Tiada bahasa yang dapat diri ini ungkapkan melainkan jazakaLLah 'anni ya sayyidi...berserta butiran air mata yang berjujuran membasahi pipi.
Seorang bapa, sahabat, pemimpin dan guru yang telah menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk mendidik membangunkan ummah di kala langit dipenuhi dengan awan hitam yang tiada menunjukkan tanda-tanda akan adanya sinaran mentari di sebaliknya.
Hati para kekasih Allah terasa bagai dihiris-hiris melihatkan keadaan umat yang begitu tenat dan dahagakan bimbingan. Mereka tiada berdiam diri berteleku di atas sejadah semata-mata bahkan mereka turut sama turun ke padang menyelami permasalahan umat.
Siang dan malam , jauh dan dekat bagaikan tiada perbezaan buat mereka dek kerana kecintaan mereka yang mendalam terhadap umat ini.
Hati siapakah dapat menahan perasaannya jika setiap hari ada sahaja anak-anak yang tiada berdosa dibuang dan dibunuh begitu sahaja...
Benarlah sabda baginda saw :
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
maksudnya : tiada sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudara segamanya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri. (hadis riwayat Muslim)
Insya Allah wahai guruku ...diri hamba yang dipenuhi dengan noda dan dosa menyerahkan seluruh jiwa raga ini untuk dididik dan dipandu kepada kepedulian terhadap ummah...dengan izin Allah tiada hamba berpaling dan hamba memanjatkan sekudus doa agar diri hamba dapat menuruti setiap jejak langkah mu demi Rasulullah dan umatnya yang tercinta.
Aku menulis sebenarnya bukan kerana diriku pandai ...jauh sekali untuk merasakan diri ini layak berbicara.
Namun dengan segala kelemahan dan kedhaifan yang ada pada diri ini ...ku gagahi juga menulis baris-baris ayat yang kiranya dapat dikongsikan bersama dengan para ahbab Syathariyah sekaliannya. Ianya berkisar tentang musafir hamba bersama walid yang tercinta ke negeri di bawah bayu pelajaran dan pengalaman yang dapat diri ini timba selama 5 hari berada di sana.
Warkah Cinta
Beberapa hari sebelum bertolak ke Lahad Datu para ansari dikejutkan dengan surat cinta yang dihantar oleh walid. Kandugan surat tersebut berupa nasihat dan peringatan serta teguran walid kepada para ansari terhadap kesilapan dalam pembawaan tarbiyah mereka.
Intipatinya ialah para ansari mesti banyak menilik kelemahan dan kesalahan diri daripada melihat kesalahan anak buah.Tiada harus para ansari membebankan anak buah dengan pelbagai tindakan serta wajib mendengar dan menghormati pandangan anak-anak buah.
Terus terang aku katakan bahawa salah seorang yang ditegur itu ialah hamba yang bebal ini. Sebenarnya diri ini telah dapat mencium bau kesilapan yang dilakukan apabila walid sering mengulangi beberapa ayat yang pada hemat ku adalah teguran kepada ku.
Penyakit khusus diriku ialah kemarahan dan prasangka...astaghfiruLLah ...ya Allah hamba bertaubat kepada Mu dengan sebenar-benar taubat daripada sifat marah dan prasangka tersebut. Sifat marah itu umpama ledakan bom atom yang akan mengeluarkan segala isi yang ada di dalam diri seseorang. Di sinilah ternyatanya kebenaran Sabda Nabi Saw ketika baginda diminta oleh seseorang untuk berwasiat kepadanya; sabda baginda saw :
لا تغضب ولك الجنة
jangan marah ( baginda ulangi sebanyak 3 kali) dan engkau akan memiliki syurga.
Sifat marah sememangnya ada dalam diri insan namun bagaimana ia dapat menanganinya untuk tujuan kebaikan. Islam tiada memerintahkan kita mencabut sifat marah kerana sifat marah atau menurut Imam Ghazali
al quwwat al ghadabiyyah diperlukan oleh insan untuk mempertahankan agama, diri dan keluarga...ia dipanggil
al syaja'ah (sifat pemberani). Namun seringkali sifat tersebut menjadi padang ragut yang menghijau buat syaitan menguasai diri.
Adalah tersangat sukar untuk membezakan antara marah kerana Allah dan marah kerana nafsu..! Sebab itu Allah memuji mereka yang dapat menahan marah bukan menghilangkan marah dengan firman Nya:
والكاظمين الغيظ
dan orang-orang yang menahan marahnya apabila dia marah...
Sabda baginda pula :
ليس الشديد بالصرعة وإنما الشديد من يملك نفشه عند الغضب
bukanlah orang yang perkasa itu ialah orang yang samseng, hanya sanya orang yang perkasa itu ialah orang yang dapat mengawal dirinya apabila dia marah.