
TIBA DI TAWAU
Pada jam 10 malam 14 Oktober 2010 rombongan kami mendarat di Lapangan Terbang Tawau setelah mengharungi perjalanan selama 2 jam 45 minit. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi Sabah dalam hidupku. Ketibaan kami disambut oleh rombongan Tn Hj Yusuf Nanong , En Roslan dan Ust Khairul.
Untuk ke Lahad Datu kami terpaksa mengharungi 2 jam perjalanan lagi dengan menaiki kenderaan darat. Aku diberitahu oleh sahabat ku akhi Roslan tentang asal usul nama Lahad Datu. Perkataan Lahad Datu diambil dari dialek Bugis yang menjadi suku kaum terbesar di sana. Lahad Datu bermakna tempat kediaman datuk - datuk yakni golongan bangsawan.
Seperkara yang menarik lagi menurut beliau ialah Islam masuk ke Lahad Datu di tangan seorang wali Allah, al arif biLLah Hj Ghulam Hasan.
Rombongan kami selamat tiba di kediaman Tn Hj Yusuf Nanang pada jam 12 malam...Kami disambut dengan alunan qasidah oleh pelajar-pelajar Ribath Syeikh Abdur Rauf yang telah datang lebih awal ke sana untuk membuat persembahan dan mengajarkan qasidah kepada anak-anak di sana.
Mudah-mudahan inilah tunas-tunas ulama' sufi mujahid yang akan mencorakan masa hadapan umat Islam di Malaysia suatu masa nanti insya Allah. Bagi Walid untuk membetulkan kepincangan masyarakat ialah dengan melahirkan generasi ulama' yang benar-benar rabbani. Bagi tujuan tersebut tumpuan pembinaan hendaklah diberikan kepada melentur rebung kerana anak-anak ini masih bersih hati dan pemikiran mereka dari diresapi oleh racun-racun Dajjal.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw :
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
"setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan bersih maka kedua ibu bapanya lah yang mencorakkan nya sebagai yahudi atau nasrani atau majusi"
No comments:
Post a Comment