Tuesday, November 8, 2011

TAFSIR SURAH AL IKHLAS


1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".

Surah ini mengandungi empat ayat yang mengisyaratkan pembahagian tauhid kepada empat bahagian ;- iaitu tauhid dzat, tauhid sifat, tauhid asma’ dan tauhid af’al.

Ia juga menunjukkan pembahagian 20 sifat yang wajib bagi Allah kepada empat ; nafsiah, salbiyah, ma’ani dan ma’nawiyah atau sifat jamal, jalal, kamal dan adzhamah.

TAFSIRAN AYAT

1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

Perkataan huwa menunjukkan dzat Allah yang wujud. Allah adalah nama bagi dzat yang wajibul wujud yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Para ulama’ berbeza pendapat tentang maksud sifat wujud yang berdiri dengan dzat Allah. Imam Abu Hasan al ‘Asya’ari berpendapat wujud itu ialah ‘ain mawjud. Sebagai contoh Zaid disifatkan wujud dengan kewujudan dirinya. Manakala al Imam Fakhr al Razi dan jumhur ulama’ asya’irah berpendapat wujud bukan ‘ain mawjud. Berdasarkan pendapat ini sifat wujud ialah hal yang sabit bagi dzat selama ada dzat tiada dikeranakan oleh sesuatu. Maksud hal ialah keadaan iaitu penengah antara wujud dan ‘adam (tiada).

Menurut Syeikhuna untuk memahami hal, kita lihat kepada nafas yang ada pada kita…bagaimana nafas tersebut adakah ia wujud? Jawapannya sudah tentu…namun bagaimana hakikatnya? Tiada kita ketahui..kita hanya merasai kesan kewujudannya tanpa kita dapat melihat hakikatnya…nah itulah yang dikatakan dengan hal atau wasitah antara wujud dan ‘adam (tiada).

Sementara wajibul wujud bermaksud kewujudan Allah tiada dikeranakan oleh sesuatu. Tiada dikeranakan oleh sesuatu bermaksud kewujudan Allah tiada dikeranakan oleh sesuatu sebab seperti wujud manusia yang disebabkan oleh percantuman antara benih lelaki dan wanita. Ia juga tidak bermaksud Allah mewujudkan dirinya sendiri kerana kenyataan tersebut membayangkan seolah-olah Allah berhajat kepada sesuatu yang menafikan sifat kaya Nya.

No comments:

Post a Comment