Thursday, December 2, 2010

PENGERTIAN DUA KALIMAH SYAHADAH


Kalimah syahadah menghimpunkan di bawahnya aqidah-aqidah yang sewajibnya dipegangi oleh seorang muslim berdasarkan manhaj aqidah ahli sunnah wal jamaah. Oleh itu, sewajarnya pengertian dua kalimah ini difahami kerana mereka yang tiada memahaminya pasti tiada memperolehi manfaat daripadanya.

Justeru yang dimaksudkan dengan la ilaha illaLLah rasulullah Muhammad ialah mempercayai keesaan Allah dan mempercayai kerasulan Nabi Muhammad saw, yakni meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang Esa dan tiada sekutu bagi Nya dan Muhammad saw itu adalah seorang hamba dan rasul Nya.

Sememangnya yang difahami dari kalimah tauhid ini ialah sabitnya makna ketuhanan (uluhiyyah) bagi Allah yang Maha Esa dan ternafi dari Nya selain Nya. Yang dinafikan ialah setiap jenis ilah (tuhan) dari hakikat ilah kecuali Tuhan kita yang Maha Suci lagi Maha Mulia. Manakala yang disabitkan daripada hakikat ilah itu hanya pada satu individu iaitu Tuhan kita Jalla wa ‘azza.

Tiada mungkin adanya di sana tuhan selain dari Nya baik pada akal mahupun pada naqal, kerana telah sabit nas (naqli) dan aqli yang menunjukkan bahawa tuhan yang sebenarnya itu hanyalah Allah yang Maha Esa, yang wajibul wujud, yang berhak dipersembahkan ibadah dengan sebenarnya , sementara ibadah yang dipersembahkan kepada selain Nya adalah batil dan kufur.

Di bawah ini dinyatakan aqidah-aqidah yang terkandung dalam dua kalimah tersebut dan dijelaskan juga bagaimana kalimah tersebut menghimpunkan kesemua aqidah-aqidah itu.

MAKNA ULUHIYYAH (KETUHANAN)

Makna uluhiyyah ialah terkaya (istighna’) Tuhan dari selain Nya dan berhajat (iftiqar) selain Nya itu kepada Nya. Pengertian ini adalah berdasarkan dilalah al iltizam bagi makna uluhiyyah dan sememangnya sifat istighna’ dan iftiqar yang dimiliki Allah menghimpunkan semua aqidah yang sewajibnya dipegangi oleh seorang muslim.

Manakala makna uluhiyyah secara mutabaqah ialah ibarat tentang zat yang wajibul wujud dan yang berhak disembah.

Justeru makna ilah secara umum itu telah ditentukan oleh dalil-dalil aqli dan naqli pada satu individu dan sudah tentu makna tersebut khas untuk Allah. Maka makna la ilaha illaLLah ialah tiada yang terkaya dari selain Nya dan dihajati oleh selain Nya melainkan Allah ta’ala. Atau tiada tuhan yang wajibul wujud lagi berhak disembah melainkan Allah kerana Allah adalah zat yang wajibul wujud dan yang selayaknya dipersembahkan ibadah.

AQIDAH YANG DISIMPULKAN OLEH DUA KALIMAH SYAHADAH

Sifat kaya (istigna’) tuhan itu mewajibkan kewujudan Nya, kerana jika kewujudannya adalah harus (jaiz) nescaya Dia berhajat kepada yang mewujudkan Nya. Sifat berhajat kepada yang mewujudkanNya itu menafikan sifat kaya dan penafian sifat kaya Allah itu adalah mustahil pada akal dan naqal.

Firman Allah :

والله هو الغني الحميد

Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Fathir : 15)

Sifat kaya Allah juga mewajibkan Nya bersifat dengan qidam , yakni menafikan adanya permulaan bagi kewujudan Nya kerana jika Allah tiada bersifat qidam nescaya dia bersifat hadith (baharu), jika Dia bersifat baharu nescaya ternafi dari Nya sifat kaya manakala penafian sifat kaya itu adalah mustahil pada akal dan naqal.


Sunday, November 21, 2010

MUSAFIR DAKWAH 4

HARI PERTAMA DI LAHAD DATU

Alhamdulillah kami telah selamat sampai ke Lahad Datu, dan kami menginap di kediaman Tuan Haji Yusuf Nanang ...

Solat subuh pagi ini diimamkan sendiri oleh Walid dan selesai berzikir bersama-sama, kami bersama Walid untuk bermuzakarah kitab dan kitab yang menjadi rujukan ialah kitab Hikam yang disyarah oleh Tok Pulau Manis.

Namun berlaku sedikit keralatan kerana kami semua tiada membawa bersama kami kitab tersebut. Sedangkan sememangnya menljadi rutin sekiranya bermusafir bersama Walid maka kitab Hikam akan menjadi bahan muzakarah. Aku yang kebiasaannya tiada pernah meninggalkan membawa kitab hikam dalam permusafiranku juga turut terlupa membawanya.

Akhirnya aku mencadangkan kepada Walid kitab al anwar al qudsiyyah fi al aadab al ubudiyyah yang dikarang oleh al Imam al Sya'rani sebagai rujukan dan ianya dipersetujui oleh Walid. Mawdhu' perbahasan kitab tersebut hampir sama dengan perbahasan kitab hikam. Muzkarah pertama adalah mengenai adab - adab kehambaan...disebut di dalamnya bahawa adab pertama daripada adab-adab ubudiyyah ialah seorang hamba itu hendaklah dia tiada bersandar kepada kurniaan Allah kepadanya dan hendaklah ia menjadi hamba yang tiada mengharap melainkan kepada Allah semata-mata.

Thursday, October 28, 2010

MUSAFIR DAKWAH 4



TIBA DI TAWAU

Pada jam 10 malam 14 Oktober 2010 rombongan kami mendarat di Lapangan Terbang Tawau setelah mengharungi perjalanan selama 2 jam 45 minit. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi Sabah dalam hidupku. Ketibaan kami disambut oleh rombongan Tn Hj Yusuf Nanong , En Roslan dan Ust Khairul.

Untuk ke Lahad Datu kami terpaksa mengharungi 2 jam perjalanan lagi dengan menaiki kenderaan darat. Aku diberitahu oleh sahabat ku akhi Roslan tentang asal usul nama Lahad Datu. Perkataan Lahad Datu diambil dari dialek Bugis yang menjadi suku kaum terbesar di sana. Lahad Datu bermakna tempat kediaman datuk - datuk yakni golongan bangsawan.

Seperkara yang menarik lagi menurut beliau ialah Islam masuk ke Lahad Datu di tangan seorang wali Allah, al arif biLLah Hj Ghulam Hasan.

Rombongan kami selamat tiba di kediaman Tn Hj Yusuf Nanang pada jam 12 malam...Kami disambut dengan alunan qasidah oleh pelajar-pelajar Ribath Syeikh Abdur Rauf yang telah datang lebih awal ke sana untuk membuat persembahan dan mengajarkan qasidah kepada anak-anak di sana.

Mudah-mudahan inilah tunas-tunas ulama' sufi mujahid yang akan mencorakan masa hadapan umat Islam di Malaysia suatu masa nanti insya Allah. Bagi Walid untuk membetulkan kepincangan masyarakat ialah dengan melahirkan generasi ulama' yang benar-benar rabbani. Bagi tujuan tersebut tumpuan pembinaan hendaklah diberikan kepada melentur rebung kerana anak-anak ini masih bersih hati dan pemikiran mereka dari diresapi oleh racun-racun Dajjal.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

"setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan bersih maka kedua ibu bapanya lah yang mencorakkan nya sebagai yahudi atau nasrani atau majusi"

MUSAFIR DAKWAH 3


BERTOLAK KE TAWAU

Hari ini Rabu 13 Oktober 2010 kami akan berlepas ke Tawau dengan penerbangan Air Asia..penerbangan mengambil masa 2.45 minit dari terminal LCCT ke sana. Sahabat-sahabatku dari Kemaman akan menunggu kami di LCCT untuk sama-sama berangkat ke negeri di bawah bayu.

Aku dimaklumkan bahawa Ust Rashidi seorang saudara baru yang berbangsa Bidayuh akan turut sama menyertai rombongan kami. Itulah kali pertama aku mengenali beliau dan beliau antara salah seorang ustaz di Kuala Terengganu yang begitu sensitif dengan IPTAF dan Presidennya.

Di sinilah aku mempelajari fiqh dakwah secara praktikal daripada walid. Bagaimana seorang yang begitu kuat menetang dakwah sufi diajak bermusafir bersama. Alangkah lapangnya dada syeikhku.

Beliau pernah mengatakan kepada beberapa orang sahabatku bahawa beliau akan menjawab segala kritikan Ust Rashidi dalam musafirnya nanti. Seorang guru dan pemimpin yang sangat sayang dengan ummah sehingga tiada sedikitpun menoleh kepada kesalahan yang pernah dilakukan oleh sahabat tersebut. Inilah padaku dakwah cinta yang dibawa oleh Rasulullah saw. Teringatku pada kisah Nabi saw pada permulaan dakwah di Mekah di mana baginda sanggup menjemput dan dan menyediakan jamuan kepada Abu Lahab sebanyak tiga kali demi kasih dan sayangnya baginda kepada umat dan demi menyeru manusia kepada Allah.

Tidak cukup dengan penolakan Abu Lahab terhadap seruan Nabi saw bahkan beliau melemparkan kata-kata kesat dengan katanya tabban lak (celaka engkau ). Bayangkan sahabat-sahabatku betapa hodohnya akhlak Abu Lahab ...sudahla berada di kediaman baginda dijamu baginda namun segala kebaikan tersebut tiada sedikitpun mengundang perasaan belas dan simpati kepada Nabi Saw. Sekurang-kurangnya jika beliau menolak ajakan Nabi saw janganlah mengeluarkan kata-kata nista. Rasulullah saw bukan orang lain...baginda adalah anak saudaranya.

Seorang daie wajib bersifat pemaaf dan berlapang dada dengan mad'unya walau bagaimana latarbelakangnya.
Nabi saw pernah mengingatkan :

أحبب حبيبك هونا ما عسى أن يكون بغيضك يوما ما وأبغض بغيضك هونا ما عسى أن يكون حبيبك يوما ما

kasihilah seseorang itu sekadarnya kerana mungkin orang yang engkau kasihi itu suatu hari nanti menjadi musuhmu. Bencilah musuhmu sekadarnya kerana mungkin suatu hari nanti dia akan menjadi kekaksihmu (rakanmu).

Walid berpesan kepadaku agar memperbanyakkan dakwah fardiyyah kerana kaedah tersebut sangat berkesan berbanding dengan dakwah umumiyyah. Namun ujar walid jangan ditinggal dakwah umumiyyah. Seterusnya beliau menegaskan bahawa manhaj taghyir kita ialah berpaksikan kepada dakwah dan tarbiyah.

Justeru beliau menjelaskan dalam berhadapan dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada manhaj ahli sunnah wal jama'ah pendekatan kita adalah bersifat kasih-sayang. Tiada dibalas hujah dengan hujah kerana ia akan mengeraskan hati dan menjauhkan mereka daripada al haq.

Walid sering berpesan agar menjadi seperti air yang akan menyelinap masuk ke segenap ruang dan apabila ada halangan ia tidak terus melanggar benteng tersebut sehinggalah benteng tersebut runtuh dengan sebab tekanan arus deras air.

Insya Allah aku akan menuruti jejak langkah walid yang tercinta dalam berdakwah...apa yang aku baca tentang dakwah fardiyyah selama ini dapat ku lihat di depan mata..

Kalau kita melihat kepada sirah nabi kita akan dapati....bagaimana yang menjalankan kerja dakwah di Madinah cuma beberapa orang sahabat yang medapat dakwah dan tarbiyah dari tangan Rasulullah saw. Dengan kekuatan rohani dan semangat mereka berdakwah dalam masa beberapa tahun selepas bai'ah aqabah pertama dan kedua Islam dapat tertegak dalan sebuah negara yang dipimpin oleh Rasulullah saw.

Justeru dari sinilah kita melihat betapa pentingnya dakwah fardiyah dalam memperkasakan al din.

Seperkara lagi dalam melaksanakan manhaj taghyir tarbiyah yang mesti ditekankan ialah tarbiyah rohani. Maksudnya rohani mad'u mesti dibuka kepada kesedaran ketuhanan dan kehambaannya sehingga iman mereka mencapai tauhid syuhudi iaitu ihsan ...muraqabah dan musyahadah.

Hal ini berdasarkan firman Allah :

لقد من الله على المؤمنين إذ بعث فيهم رسولا منهم يتلو عليهم آياتهم ويزكيهم ويعلمهم الكتاب والحكمة

Maksudnya : sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat yang besar ke atas orang-orang beriman ketika Dia mengutuskan kepada mereka dari kalangan mereka seorang rasul yang membacakan ke atas mereka ayat-ayatNya (tauhid) dan menyucikan mereka (tasawuf) dangan mengajarkan kepada mereka kandungan al kitab dan al hikmah (sunnah) (fiqh)

Wednesday, October 27, 2010

MUSAFIR DAKWAH 2


PERTEMUAN SETELAH MENERIMA SURAT CINTA

Alhamdulillah aku dapat bertemu dengan walid di homestay pada hari Selasa bersamaan 12 Oktober 2010 selepas asar. Dapat ku rasakan degupan jantungku berdenyut kencang ...berdebar-debar menyedari kesalahan diri dalam membantu tarbiyah walid. Perasaanku bercampur antara gembira dan bimbang apabila bertemu walid. Namun kehangatan kasih seorang ayah dapat ku rasakan di wajah walid sambil tersenyum.

Beliau mengatakan kepada ku : ustaz banyak mempelajari seni tarbiyah melalui kesalahan yang ustaz lakukan.
Perkataan tersebut sekurang-kurangnya memperlahankan degupan jantung ini..itulah sebenarnya murabbi yang yang bagaikan seorang ayah yang begitu memahami perasaan seorang anak.

Demi Allah! batin ini terasa ingin menangisi sepuas-puasnya menyedari kesalahan diri..lidah ku tiada lekang sepanjang perjalanan untuk menemui walid dengan alunan istighfar..itulah kehangatan ubudiyyah yang dapat aku rasakan hasil daripada kesilapan yang dilakukan.

Terasa kerdil diri ini di hadapan Mu ya Allah dan ya Rasulullah! Hal ini kerana pengalaman ku suatu ketika dahulu di mana aku pernah terjatuh ke dalam gaung yang sangat dalam...Allah sahaja yang mengetahui batin diri ini..Aku bernasib baik kerana masih diterima sebagai muridnya...tiada ku tahu apa akan jadi kepada diriku seaindainya diri ini terlempar keluar dari perjalanan ini...Dapat kurasakan pada waktu itu bahawa sekalian makhluk termasuk anjing-anjing melaknatku ...dan akulah sejahat-jahat manusia melebihi Iblis yang bertopengkan seorang manusia.

Fahamlah diri ini sabda kekasih junjungan saw :

المؤمن يرى ذنوبه كالجبل يخاف أن يقع عليه والمنافق يرى ذنوبه كالذباب يقع على أنفه فطرده

seorang mukmin melihat dosa-dosanya seperti bukit yang berada di atasnya yang dibimbangi menimpanya manakala seorang munafik melihat doisanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya lalu dihalaunya.

Tuesday, October 26, 2010

MUSAFIR DAKWAH

Alhamdulillah...aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan kasih sayang Nya dapat aku menghirup udara Nya dan yang lebih penting lagi dapat aku berada di atas perjalanan para kekasih Nya khasnya sayyid al wujud Saidina Rasulullah saw. Demi Allah ! diri ini tiada sedikitpun kelayakan untuk menelusuri perjalanan ini apatah lagi jika dilihat pada timbunan dosa dan noda yang dilakukan oleh diri ini.

Aku juga bersyukur dan berterima kasih kepada syeikhku yang begitu sabar dalam mendidik diriku yang penuh dengan nafsu kebinatangan dan kesyaitanan. Tiada bahasa yang dapat diri ini ungkapkan melainkan jazakaLLah 'anni ya sayyidi...berserta butiran air mata yang berjujuran membasahi pipi.

Seorang bapa, sahabat, pemimpin dan guru yang telah menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk mendidik membangunkan ummah di kala langit dipenuhi dengan awan hitam yang tiada menunjukkan tanda-tanda akan adanya sinaran mentari di sebaliknya.

Hati para kekasih Allah terasa bagai dihiris-hiris melihatkan keadaan umat yang begitu tenat dan dahagakan bimbingan. Mereka tiada berdiam diri berteleku di atas sejadah semata-mata bahkan mereka turut sama turun ke padang menyelami permasalahan umat.

Siang dan malam , jauh dan dekat bagaikan tiada perbezaan buat mereka dek kerana kecintaan mereka yang mendalam terhadap umat ini.

Hati siapakah dapat menahan perasaannya jika setiap hari ada sahaja anak-anak yang tiada berdosa dibuang dan dibunuh begitu sahaja...

Benarlah sabda baginda saw :

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
maksudnya : tiada sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudara segamanya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri. (hadis riwayat Muslim)

Insya Allah wahai guruku ...diri hamba yang dipenuhi dengan noda dan dosa menyerahkan seluruh jiwa raga ini untuk dididik dan dipandu kepada kepedulian terhadap ummah...dengan izin Allah tiada hamba berpaling dan hamba memanjatkan sekudus doa agar diri hamba dapat menuruti setiap jejak langkah mu demi Rasulullah dan umatnya yang tercinta.

Aku menulis sebenarnya bukan kerana diriku pandai ...jauh sekali untuk merasakan diri ini layak berbicara.
Namun dengan segala kelemahan dan kedhaifan yang ada pada diri ini ...ku gagahi juga menulis baris-baris ayat yang kiranya dapat dikongsikan bersama dengan para ahbab Syathariyah sekaliannya. Ianya berkisar tentang musafir hamba bersama walid yang tercinta ke negeri di bawah bayu pelajaran dan pengalaman yang dapat diri ini timba selama 5 hari berada di sana.

Warkah Cinta

Beberapa hari sebelum bertolak ke Lahad Datu para ansari dikejutkan dengan surat cinta yang dihantar oleh walid. Kandugan surat tersebut berupa nasihat dan peringatan serta teguran walid kepada para ansari terhadap kesilapan dalam pembawaan tarbiyah mereka. Intipatinya ialah para ansari mesti banyak menilik kelemahan dan kesalahan diri daripada melihat kesalahan anak buah.Tiada harus para ansari membebankan anak buah dengan pelbagai tindakan serta wajib mendengar dan menghormati pandangan anak-anak buah.

Terus terang aku katakan bahawa salah seorang yang ditegur itu ialah hamba yang bebal ini. Sebenarnya diri ini telah dapat mencium bau kesilapan yang dilakukan apabila walid sering mengulangi beberapa ayat yang pada hemat ku adalah teguran kepada ku.

Penyakit khusus diriku ialah kemarahan dan prasangka...astaghfiruLLah ...ya Allah hamba bertaubat kepada Mu dengan sebenar-benar taubat daripada sifat marah dan prasangka tersebut. Sifat marah itu umpama ledakan bom atom yang akan mengeluarkan segala isi yang ada di dalam diri seseorang. Di sinilah ternyatanya kebenaran Sabda Nabi Saw ketika baginda diminta oleh seseorang untuk berwasiat kepadanya; sabda baginda saw :

لا تغضب ولك الجنة
jangan marah ( baginda ulangi sebanyak 3 kali) dan engkau akan memiliki syurga.

Sifat marah sememangnya ada dalam diri insan namun bagaimana ia dapat menanganinya untuk tujuan kebaikan. Islam tiada memerintahkan kita mencabut sifat marah kerana sifat marah atau menurut Imam Ghazali al quwwat al ghadabiyyah diperlukan oleh insan untuk mempertahankan agama, diri dan keluarga...ia dipanggil al syaja'ah (sifat pemberani). Namun seringkali sifat tersebut menjadi padang ragut yang menghijau buat syaitan menguasai diri.

Adalah tersangat sukar untuk membezakan antara marah kerana Allah dan marah kerana nafsu..! Sebab itu Allah memuji mereka yang dapat menahan marah bukan menghilangkan marah dengan firman Nya:

والكاظمين الغيظ

dan orang-orang yang menahan marahnya apabila dia marah...

Sabda baginda pula :

ليس الشديد بالصرعة وإنما الشديد من يملك نفشه عند الغضب
bukanlah orang yang perkasa itu ialah orang yang samseng, hanya sanya orang yang perkasa itu ialah orang yang dapat mengawal dirinya apabila dia marah.

Monday, October 11, 2010

DAKWAH SUFI PILIH KEHINAAN DARIPADA PUJIAN

Dakwah sufi penuh kesabaran, keterbukaan, kasih sayang dan tidak bersifat menghukum. Menerima segala celaan dengan kesabaran dan munajat dengan tiada berputus asa. Mereka tidak menjawab celaan dengan celaan kerana cinta kepada manusia apa lagi saudara seagama.

Manusia akan memusuhi apa yang ia tidak tahu. Penyelesaian melalui perdebatan ilmu akan hanya membawa kepada kekerasan jiwa, luka hati dan perpecahan ummah. Pilihlah jalan kesabaran, kemaafan, persahabatan dan munajat kerana cinta, agar jiwa yang keras menjadi lembut, kejahilan menjadi pengetahuan, permusuhan menjadi persahabatan, perpecahan menjadi penyatuan, kebencian menjadi kasih sayang.

Marilah kita terus berjuang membangunkan Islam dengan method tasawwuf yang lembut dan hikmah agar diri, keluarga dan masyarakat selamat dari tenggelam dalam kekufuran, kesyirikan, kefasikan, hawa nafsu, syaitan dan dunia yang melalaikan.

Lihatlah dakwah Jemaah Tabligh, mereka memilih mendiamkan diri dari apa jua tohmahan, namun terus berjuang dengan jalan yang mereka yakini, akhirnya musuh dan fitnah menjadi lemah. Mereka terus bergerak sehingga berjaya melahirkan jutaan kader dakwah mereka di seluruh dunia.

Begitu juga dakwah Habib Umar al-Hafidz, mereka diacu dengan senapang oleh penentang mereka, namun dengan kesabaran dan munajat, akhirnya ramai para penentangnya menjadi pengikutnya, sehingga dakwahnya tersebar ke seluruh dunia.

Ingatlah pesan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, ‘Jadikan dirimu seperti pohon yang berbuah lebat, mereka melontarnya dengan batu, tapi ia melontarkan kembali buah yang ranum!”


Tasawwuf adalah mujahadah. Didik diri dengan memilih kehinaan dari pujian, pilih kemaafan dari dendam dan kemarahan, pilih kesabaran dalam apa jua keadaan. Terus berakhlak mulia dengan sesiapa jua, menghormati apa yang ada pada orang lain. Dan berpeganglah kamu dengan kalam ‘Arifbillah yang menjadi dasar semua tarekah :
ILAHI ANTA MAQSUDI WA RIDHAKA MATHLUBI - 'Ya Allah, hanya Engkau yang ku maksudkan, dan keredhaan Mu lah yang ku cari!” Dipetik dari blog kuliahaddeen.blogspot.com tulisan al Faqir IlaLlah Syeikh Ibrahim Mohamad al Syathari