Kalimah syahadah menghimpunkan di bawahnya aqidah-aqidah yang sewajibnya dipegangi oleh seorang muslim berdasarkan manhaj aqidah ahli sunnah wal jamaah. Oleh itu, sewajarnya pengertian dua kalimah ini difahami kerana mereka yang tiada memahaminya pasti tiada memperolehi manfaat daripadanya.
Justeru yang dimaksudkan dengan la ilaha illaLLah rasulullah Muhammad ialah mempercayai keesaan Allah dan mempercayai kerasulan Nabi Muhammad saw, yakni meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang Esa dan tiada sekutu bagi Nya dan Muhammad saw itu adalah seorang hamba dan rasul Nya.
Sememangnya yang difahami dari kalimah tauhid ini ialah sabitnya makna ketuhanan (uluhiyyah) bagi Allah yang Maha Esa dan ternafi dari Nya selain Nya. Yang dinafikan ialah setiap jenis ilah (tuhan) dari hakikat ilah kecuali Tuhan kita yang Maha Suci lagi Maha Mulia. Manakala yang disabitkan daripada hakikat ilah itu hanya pada satu individu iaitu Tuhan kita Jalla wa ‘azza.
Tiada mungkin adanya di sana tuhan selain dari Nya baik pada akal mahupun pada naqal, kerana telah sabit nas (naqli) dan aqli yang menunjukkan bahawa tuhan yang sebenarnya itu hanyalah Allah yang Maha Esa, yang wajibul wujud, yang berhak dipersembahkan ibadah dengan sebenarnya , sementara ibadah yang dipersembahkan kepada selain Nya adalah batil dan kufur.
Di bawah ini dinyatakan aqidah-aqidah yang terkandung dalam dua kalimah tersebut dan dijelaskan juga bagaimana kalimah tersebut menghimpunkan kesemua aqidah-aqidah itu.
MAKNA ULUHIYYAH (KETUHANAN)
Makna uluhiyyah ialah terkaya (istighna’) Tuhan dari selain Nya dan berhajat (iftiqar) selain Nya itu kepada Nya. Pengertian ini adalah berdasarkan dilalah al iltizam bagi makna uluhiyyah dan sememangnya sifat istighna’ dan iftiqar yang dimiliki Allah menghimpunkan semua aqidah yang sewajibnya dipegangi oleh seorang muslim.
Manakala makna uluhiyyah secara mutabaqah ialah ibarat tentang zat yang wajibul wujud dan yang berhak disembah.
Justeru makna ilah secara umum itu telah ditentukan oleh dalil-dalil aqli dan naqli pada satu individu dan sudah tentu makna tersebut khas untuk Allah. Maka makna la ilaha illaLLah ialah tiada yang terkaya dari selain Nya dan dihajati oleh selain Nya melainkan Allah ta’ala. Atau tiada tuhan yang wajibul wujud lagi berhak disembah melainkan Allah kerana Allah adalah zat yang wajibul wujud dan yang selayaknya dipersembahkan ibadah.
AQIDAH YANG DISIMPULKAN OLEH DUA KALIMAH SYAHADAH
Sifat kaya (istigna’) tuhan itu mewajibkan kewujudan Nya, kerana jika kewujudannya adalah harus (jaiz) nescaya Dia berhajat kepada yang mewujudkan Nya. Sifat berhajat kepada yang mewujudkanNya itu menafikan sifat kaya dan penafian sifat kaya Allah itu adalah mustahil pada akal dan naqal.
Firman Allah :
والله هو الغني الحميد
Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Fathir : 15)
Sifat kaya Allah juga mewajibkan Nya bersifat dengan qidam , yakni menafikan adanya permulaan bagi kewujudan Nya kerana jika Allah tiada bersifat qidam nescaya dia bersifat hadith (baharu), jika Dia bersifat baharu nescaya ternafi dari Nya sifat kaya manakala penafian sifat kaya itu adalah mustahil pada akal dan naqal.
No comments:
Post a Comment